Sergio Ramos berharap negaraya meletakkan kepercayaan kepada skuad La Roja selepas mengalami kekalahan 3-2 kepada England dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, awal pagi semalam.

Sepanyol mengalami kekalahan di laman sendiri buat kali pertama sejak 2003 -- menamatkan rekod 38 perlawanan tanpa kalah -- selepas gagal bersaing dengan England di Seville.

England menjaringkan tiga gol tanpa balas dalam separuh masa pertama sebelum Sepanyol bangkit -- Paco Alcacer dan Ramos mengurangkan defisit jaringan untuk Sepanyol.

Ia merupakan kekalahan pertama Sepanyol kepada England sejak 1987, menamatkan permulaan tanpa kalah Luis Enrique sejak mengambil alih pasukan pada Julai lalu.

Ramos –- yang menjaringkan gol kedua Sepanyol pada minit ke-97 –- memberitahu Teledeporte, "England adalah lawan berkelas dunia dan mereka memiliki barisan pemain yang berbisa.

"Kami berpeluang untuk menjaringkan tiga gol tetapi England lebih cemerlang dan menggunakan peluang mereka sebaik mungkin.

"Keindahan bola sepak menyaksikan kami berpeluang untuk mengubah keputusan perlawanan, menjaringkan dua gol. Walaupun tewas, kami berjaya bangkit memperkemaskan permainan.

"Saya berharap kepercayaan dapat diberikan kepada pasukan ini," ujarnya.