Sergio Ramos dijangka akan terlepas sekurang-kurangnya tiga perlawanan Real Madrid selepas disahkan mengalami kecederaan paha oleh kelab berkenaan.

Ketika Madrid tidak mendedahkan tempoh pemulihan yang diperlukan ketua pasukan itu, laporan media di Sepanyol mendakwa dia tidak akan dapat beraksi sepanjang bulan ini.

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu akan berdepan Villarreal dalam LaLiga, Sabtu ini dan pertembungan dengan Deportivo Alaves akan menyusul selepas kunjungan ke Inter Milan bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Rabu depan.

Ramos terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dalam babak pertama ketika Sepanyol membelasah Jerman 6-0 dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) Selasa lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Madrid berkata: "Selepas pemeriksaan yang dilakukan oleh bahagian perubatan Real Madrid ke atas Sergio Ramos hari ini, pemain itu telah didiagnosis mengalami kecederaan otot paha di kaki kanannya. Pemulihannya akan terus dipantau."

Zidane turut gusar dengan keadaan Raphael Varane selepas pertahanan tengah itu terpaksa dikeluarkan pada separuh masa ketika Perancis menewaskan Sweden 4-2.

Bagaimanapun, pemilihan pemain pertahanan Madrid tidak terlalu terjejas memandangkan Eder Militao (koronavirus) dan Nacho Fernandez (cedera lutut) dijangka dapat kembali beraksi menjelang kunjungan ke Estadio de la Ceramica itu.

Pasukan itu tewas dua daripada empat perlawanan LaLiga terakhir dan akan berusaha untuk menghalang Villarreal untuk merekodkan tujuh perlawanan tanpa kalah, yang mungkin akan menjadi rekod terbaik mereka sejak Oktober 2016.