Rakitic sedia berentap dengan Messi  

Oleh Penulis Jemputan 2 Disember 2017 896
 Rakitic sedia berentap dengan Messi  
Pemain tengah Croatia, Ivan Rakitic, teruja akan bertembung dengan rakan sepasukan di Barcelona, ​​Lionel Messi dan Javier Mascherano, dalam Piala Dunia 2018.

Messi dan Argentina diletakkan bersama Croatia, Nigeria dan Iceland dalam Kumpulan D yang dianggap sukar selepas undian rasmi di Moscow, malam tadi. 

Argentina adalah finalis ketika Jerman menang di Brazil 2014, namun mereka memerlukan magis Messi untuk ke pusingan akhir.

Rakitic merupakan generasi terkenal skuad Croatia yang mungkin berpeluang untuk beraksi dalam kejohanan utama buat kali terakhir.

"Ia adalah kumpulan yang sukar, ia akan menjadi perjuangan besar," kata pemain berusia 29 tahun itu kepada 24 sata.

"Saya percaya kami mempunyai kualiti untuk mengharunginya. Saya gembira akan menentang rakan-rakan saya, Messi dan Mascherano.

"Ia adalah Piala Dunia dan kami perlu menghadapi yang terbaik. Saya tidak sabar untuk kempen Piala Dunia, terutama menentang Argentina.

"Saya menghormati Argentina dan Messi, ia melonjakkan motivasi kami," ujarnya.

Jurulatih kebangsaan, Zlatko Dalic, bersikap logik sambil mengakui lebih suka untuk tidak mengatur perancangan menyekat Messi.

"Ia mungkin lebih baik dan mungkin lebih buruk," kata Dalic kepada HTV.

"Nigeria dibarisi pemain muda, mereka sangat pantas, saya mahu mengelakkan dua atau tiga pasukan terbaik (seperti Argentina) tetapi kami tidak akan rugi apa-apa. Mereka adalah pasukan pilihan," tambahnya.

Sebelum ini, Iceland dan Croatia mengharungi kempen kelayakan dalam kumpulan yang sama dengan keputusan seimbang -- masing-masing menerusi satu kemenangan -- dan menurut Dalic lagi: "Iceland, kami mengenali mereka dengan baik, saya bercakap dengan jurulatih mereka (Heimir Hallgrimsson) dan dia berkata, 'Oh tidak, tidak kamu lagi'."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen