Ivan Rakitic memuji Ansu Fati selepas pemain remaja itu membantu Barcelona menewaskan Leganes 2-0 di Camp Nou awal pagi tadi.

Fati membuka jaringan dalam babak pertama sebelum Lionel Messi menggandakan jaringan itu menerusi sepakan penalti dalam babak kedua untuk Barca mengembalikan kelebihan lima mata di puncak liga.

Pemain berusia 17 tahun itu terus mencuri tumpuan dalam musim pertamanya selain turut menjaringkan enam gol dalam kempen kali ini.

Rakitic memuji prestasi penyerang itu dan menggesa pemain muda itu untuk terus berusaha keras.

"Apa yang dilakukan Ansu amat menarik dan kami benar-benar gembira dengannya," kata pemain tengah berbangsa Croatia itu.

"Jaringannya menjadikan keadaan lebih mudah dan apa yang perlu dilakukannya ketika ini adalah terus berusaha dan bersabar," katanya.

Ketika Fati berada dalam senarai penjaring, Antoine Griezmann pula masih bergelut di depan gawang selepas jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.

Tetapi Rakitic mempertahankan pemain kebangsaan Perancis itu, yang menjaringkan lapan gol daripada 28 perlawanan dalam musim pertamanya bersama Barcelona.

"Dia menjaringkan gol dan ia dibatalkan.

"Dia adalah pemain yang amat penting buat pasukan ini dan dia akan menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.