Ivan Rakitic berseloroh bahawa Sevilla boleh menawarkan tempat buat Lionel Messi sekiranya pemain bintang itu memutuskan untuk meninggalkan Barcelona.

Pemain tengah berusia 32 tahun itu kembali ke Sevilla selepas enam musim menyinar di Barcelona, ​​yang menyaksikannya memenangi empat gelaran LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL) selain koleksi piala yang lain.

Ketika ditanya apakah Sevilla mampu mendapatkan Messi, Rakitic berkata: "Kami akan mencarikan tempat buatnya, tiada masalah.

"Tidak, serius, saya rasa senang melihat bagaimana kelab ini berkembang. Sentiasa merendah hati. dan ini juga perkembangan yang menarik bagi saya.

"Saya mahu berusaha, berjuang bersama-sama rakan sepasukan demi menjadikan Sevilla lebih besar. Jadi kami akan berjuang, berusaha dan saya tidak sabar-sabar lagi untuk memulakannya sekarang."

Sevilla akan menghadapi jaguh Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu, Bayern Munich, dalam perebutan Piala Super UEFA, 25 September ini.

Pemain tengah Croatia itu merupakan sebahagian daripada gergasi Catalunya itu yang dimalukan Bayern 2-8 di peringkat suku akhir UCL bulan lalu.

Begitupun, Rakitic tidak akan terbawa-bawa dengan sentimen membalas dendam dalam pertemuan di Budapest kelak.

"Ia satu penghormatan besar untuk menghadapi Bayern. Ia akan menjadi permainan yang sangat sukar. Kami tahu betapa ampuhnya mereka," katanya.

"Namun, saya juga menyedari bahawa mereka mengetahui betapa hebatnya Sevilla. Oleh itu, kami akan membuat persiapan dengan cara yang terbaik. Ada piala yang dipertaruhkan -- trofi yang sangat penting.

"Kami ingin bersaing dengan baik dan menunjukkan kepada mereka bahawa kami adalah sebuah pasukan yang ampuh. Sama ada ia membabitkan niat untuk balas dendam atau tidak ... apa yang saya mahukan adalah kemenangan buat Sevilla. Saya tidak sabar-sabar lagi."