Bekas ketua jurulatih skuad negara, Datuk K. Rajagobal, memohon agar karier pemain muda dalam Liga Malaysia (Liga-M) diselamatkan selepas saingan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini dibatalkan.

Pengendali yang memegang rekod cemerlang dalam pembangunan bakat muda negara itu menyeru agar jurulatih di peringkat negeri tidak mengabaikan pemain muda masing-masing, yang ketika ini seakan-akan terumbang-ambing.

"Bukan semua boleh bermain, mungkin ada dua hingga empat pemain muda yang boleh diserapkan ke dalam pasukan utama," katanya kepada Nadi Arena.

"Ia terpulang kepada jurulatih masing-masing.

"Janganlah biarkan pemain-pemain ini kerana jika tiada momentum agak susah juga.

"Mereka pasti boleh membantu pasukan negeri dan seterusnya pasukan negara," katanya.

Saban tahun, ramai bakat muda yang dicungkil daripada dua kejohanan berkenaan.

Namun, situasi musim ini tidak akan sama selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk membatalkan dua kejohanan itu berikutan pandemik Covid-19.

Tambah Rajagobal, setiap jurulatih perlu berani menggunakan kelompok pemain muda itu memandangkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sudah mengeluarkan peraturan baru yang membenarkan lima pertukaran pemain dalam setiap perlawanan.

"Memandangkan jadual perlawanan sangat padat (jika liga kembali bersambung), jurulatih boleh menggunakan pemain muda ini jika terdapat masalah kecederaan dan sebagainya.

"Ia terpulang kepada mereka.

"Inilah waktunya untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain ini untuk melihat potensi sebenar mereka," tambahnya.

Sebagai rekod, antara bakat muda yang pernah dicungkil oleh Rajagobal adalah Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan.