"Datuk Ong Kim Swee ada jawapan."

Itu reaksi bekas ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal, yang menganggap kegagalan skuad bola sepak negara dalam Sukan SEA Filipina sebagai situasi yang menyedihkan.

Sebagai jurulatih yang memiliki pengalaman sebanyak lima kali di pentas Sukan SEA, ia adalah sesuatu yang menyedihkan menerusi kegagalan tidak dijangka dalam edisi kali ini.

Bagi Rajagobal, apa yang berlaku menjadi tanggungjawab Kim Swee sepenuhnya kerana dia lebih tahu apa yang terbaik untuk diketengahkan dalam usaha memenuhi sasaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk sekurang-kurangnya layak ke final.

"Kalau saya tidak silap, ini keputusan paling sedih, di mana Kim Swee tahu apa sebenarnya berlaku dan mengapa pemain atau pasukan negara tidak berjaya," katanya.

Turut melontarkan pandangan sama adalah bekas pembantu jurulatih skuad kebangsan, Irfan Bakti Abu Salim, yang melabelkannya kegagalan yang sukar diterima, terutama melibatkan kekalahan yang memalukan di tangan Filipina dan Kemboja walaupun kedua-dua lawan itu merupakan pasukan belasahan Malaysia satu ketika dulu.

"Mungkin Kim Swee sudah mengenal pasti punca tewas di tangan Kemboja dan Filipina. Masalahnya, Malaysia bukan kalah dengan Jepun atau Korea Selatan tetapi Kemboja dan Filipina," katanya.