Erling Haaland kembali dikaitkan dengan spekulasi perpindahan ke Barcelona apabila ejen dan bapanya dikesan tiba di bandar Sepanyol itu malam tadi.

Akhbar Sepanyol, Sport, mengeluarkan satu video dalam laman web mereka yang menunjukkan ejen, Mino Raiola, dan Alf-Inge Haaland tiba di lapangan terbang dan dibawa menaiki sebuah kenderaan persendirian.

Turut dilaporkan bahawa pemandu kenderaan itu merupakan pekerja kepada Presiden Barcelona, Joan Laporta, dan ia secara tidak langsung menggambarkan bahawa Raiola dan bapa Haaland sedang menuju ke satu mesyuarat bersama ketua baru Camp Nou itu.

Haaland sudah lama dikaitakan untuk menyertai Barcelona selepas 15 bulan bersama Borussia Dortmund dan berkembang menjadi pemain yang diidam-idamkan kelab elit di seluruh Eropah.

Sepanjang itu, antara pasukan yang dilaporkan bersedia mendapatkan khidmat pemain Norway berkenaan ialah Real Madrid, Paris Saint-Germain (PSG), Manchester City dan Manchester United, dan ia bermakna Barca berkemungkinan akan menghadapi saingan hebat dalam menandatangani pemain muda berusia 20 tahun itu, yang boleh didapatkan mereka tahun ini.

Haaland dilaporkan mempunyai satu klausa dalam kontraknya bersama Dortmund yang membenarkannya untuk meninggalkan kelab itu dengan bayaran €75 juta (RM365.9 juta) pada penghujung musim 2021-22 tetapi ia tidak pernah disahkan oleh kelab itu.

A post shared by Erling Braut Haaland (@erling.haaland)


Barcelona terkesan hebat secara ekonomi berikutan krisis COVID-19 tetapi presidennya, Laporta, pasti mahu membuktikan kemampuannya sebaik kembali memegang jawatan itu bulan lalu, selepas 11 tahun meninggalkannya.

Jika Haaland menyertai Madrid, ia akan menjadi tamparan besar buat Barca di mana masa depan Lionel Messi bersama kelab itu masih tiada sebarang kepastian. Kapten Blaugrana itu masih dikaitkan untuk menamatkan kontraknya pada penghujung musim ini dan terus dikaitkan untuk menyertai PSG.

Sejak meninggalkan Salzburg untuk menyertai Dortmund pada penghujung musim 2019-20, Haaland telah menjaringkan 49 gol daripada 49 penampilan dalam kesemua kejohanan di peringkat kelab, termasuk 33 gol daripada 31 penampilan musim ini.