Raikan kemenangan atas Liverpool bukan satu masalah -- Simeone

Oleh Ammar Hakim 23 Februari 2020 1512
Raikan kemenangan atas Liverpool bukan satu masalah -- Simeone
Diego Simeone melihat tiada masalah buat pemain-pemain Atletico Madrid meraikan kemenangan ke atas Liverpool, namun beliau menegaskan tidak akan membenarkan pasukannya terbawa-bawa dengan kejayaan itu.

Atleti mendahului 1-0 menjelang aksi timbal balik di Anfield selepas jaringan Saul Niguez memberikan kemenangan dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris dan juara bertahan UCL itu.

Video yang dikongsikan di media sosial menyaksikan pemain-pemain Atleti meraikan kemenangan tersebut ketika sesi pemulihan.

Tiada isu buat Simeone, namun pengendali kelahiran Argentina itu -- ketika pasukannya di tangga kelima LaLiga menjelang pertemuan dengan Villarreal dalam saingan LaLiga -– yakin pasukannya akan kekal fokus sepanjang permainan.

"Saya sentiasa menyatakan perkara ekstrem adalah sesuatu yang tidak baik," kata Simeone.

"Tiada apa yang ekstrem dalam bilik persalinan. Apa yang kami perlu lakukan adalah kekal fokus.

"Kami menyedari saingan LaLiga sangat panjang, UCL adalah saingan yang sukar jadi kami perlu mengekalkan permainan yang konsisten."
Joao Felix tersenarai dalam skuad menjelang pertemuan berdepan Villareal dan Simeone teruja kerana dapat menurunkan penyerang itu.

"Apa yang membuat saya teruja adalah semua pemain berada dalam skuad. Ia menghadirkan persaingan antara pemain-pemain.

"Ketika Felix dan[Diego] Costa direhatkan, [Angel] Correa dan Vitolo bermain dan ia menghadirkan persaingan dalam penyerang pasukan.

"Perkara yang sama turut berlaku antara pemain pertahanan pasukan antara Jose Gimenez dan Stefan Savic, dengan Felipe dan [Mario] Hermoso. Ia adalah sesuatu yang penting untuk peningkatan pasukan."

 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen