Kekal dalam Liga Super musim depan belum membuatkan ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, berasa lega sepenuhnya apabila kini terpaksa berjuang memastikan pemain utamanya kekal bersama pasukan.

Pengalaman musim lalu seakan-akan terjadi sekali lagi buat pasukan itu apabila beberapa pemain seperti Nor Hakim Hassan, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Wan Ahmad Amirzafran sudah mula dirisik pasukan lain.

Jika itu terjadi, Rahmad mahu pengurusan T-Team lebih bijak dalam urusan perpindahan pemain dengan mendapatkan bentuk pampasan lebih tinggi untuk pasukan.

Sebelum ini, Safawi Rasid, Ilham Amirullah dan Wan Azraie Wan Teh adalah antara pemain yang meninggalkan T-Team pada musim lalu, menyebabkan mereka bergelut sepanjang musim ini.

"Kami perlu lebih bijak untuk memberi pemain kepada pasukan lain. Ini kerana, kalau kita beri pemain dengan harga yang tidak tinggi dan kita mahu mendapatkan pemain yang mempunyai kualiti sama seperti pemain itu, harganya tidak sama," katanya.

Sementara itu, ketua pasukan T-Team, Hasbullah Awang, bersyukur kerja keras rakan sepasukan yang tidak kenal erti mengaku kalah akhirnya memberikan pulangan setimpal.

Sepanjang bersama pasukan, dia melihat musim ini antara catatan paling manis sepanjang 10 tahun bersama T-Team.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada pengurusan, jurulatih dan pemain kerana melakukan yang terbaik pada malam ini (seri 0-0 menentang Sarawak, Sabtu lalu)," katanya.

Penyertaan T-Team dalam Liga Malaysia musim ini menyaksikan pencapaian sederhana mereka.

Selain terselamat daripada penyingkiran ke Liga Perdana, T-Team gagal mara jauh dalam Piala Malaysia dan Piala FA.

Pencapaian T-Team 2017

Liga Super
Kedudukan: Kesembilan
Mata terkumpul: 23
Rekod perlawanan: Tujuh menang, seri lima, kalah 10
Rekod jaringan: 30 gol, 45 bolos

Piala Malaysia
Peringkat kumpulan

Piala FA
Pusingan ketiga