Bayern Munich telah memberikan Rafinha lanjutan kontrak yang akan menyaksikan pemain pertahanan tersebut kekal bersama kelab juara Bundesliga itu sehingga 2018.

Pemain kebangsaan Brazil berusia 31 tahun itu telah membuat 186 penampilan bersama Bayern sejak menyertai kelab itu dari Genoa pada tahun 2011.

Rafinha yang telah membuat lapan penampilan dalam Bundesliga di bawah Carlo Ancelotti pada musim ini, melahirkan rasa gembira untuk menandatangani lanjutan kontrak tersebut.

"Saya amat gembira mengenai lanjutan kontrak ini. Saya telah berada di sini selama hampir enam tahun. FC Bayern seperti keluarga kedua saya dan merupakan salah satu kelab terbaik di dunia," katanya.

"Saya mahu memenangi seberapa trofi lagi dengan FC Bayern."

Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge juga gembira untuk melengkapkan perjanjian itu.