Pemain tengah Inter, Radja Nainggolan, kembali dipinjamkan ke Cagliari bagi baki kempen 2020-21.

Pemain berusia 32 tahun itu hanya tampil lima kali untuk pencabar Serie A tersebut musim ini, masing-masing penampilan dari bangku simpanan.

Dia menghabiskan sepanjang musim lalu di Cagliari -- kelab yang pernah diwakili selama empat tahun -- dan kini kembali ke Arena Sardegna.

Sedekad lalu, tiada pemain asing yang beraksi lebih kerap bersama kelab itu dalam kancah Serie A berbanding bekas tonggak Belgium berkenaan yang sempat membuat 157 penampilan.

Cagliari mengesahkan perjanjian itu -- yang tidak mengandungi pilihan untuk mengekalkannya pada akhir kempen -- di laman sesawang mereka semalam.




Nainggolan hanya berpeluang beraksi selama 43 minit dan pemain tengah itu sudah tidak sabar-sabar untuk diturunkan.

Justeru, dia yang berbekalkan reputasi enam gol dan mencetuskan tujuh bantuan gol dalam 26 penampilan liga musim lalu berikrar mencetuskan impak segera.

"Saya gembira untuk berada di sini," katanya kepada pemberita.

"Saya ingin menikmati semula kegembiraan bermain bola sepak yang telah dirampas daripada saya sepanjang pusingan pertama musim ini.

"Ini sebuah pasukan mantap, kompetitif dan mempunyai ramai pemain muda yang berpotensi.

"Saya telah terbaca banyak cerita tentang saya tetapi apa yang boleh saya katakan ialah saya masih berkeupayaan tinggi dan saya teruja untuk beraksi Adakah saya akan kekal di sini selama-lamanya? Saya asyik berpindah randah jadi mari kita lihat kelak."