Jaami Qureshi menyatakan keazaman untuk memperkuatkan skuad B-19 negara bagi aksi Kejohanan AFC B-19, Oktober depan dan dalam masa yang sama sedang fokus untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Brighton & Albion.

Penyerang remaja kacukan England-Malaysia itu mengakui segala urusan untuk mewakili skuad pelapis Malaysia sedang diselesaikan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, buat masa ini dia perlu memberikan tumpuan kepada misinya di negara Eropah terlebih dahulu.

"Pendekatan latihan kami menjadi agak berbeza. Ramai yang terjejas akibat COVID-19 dan saya agak gusar dengan situasi saya.

"Saya sedang fokus untuk membina kekuatan dalam usaha meningkatkan kemampuan berbanding musim pertama.

"Ada kemahiran yang perlu diberi perhatian, misalnya tindakan penyudah," katanya ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah.





Begitupun, pemain berumur 16 tahun itu berharap dapat membentuk persefahaman dengan rakan sepasukannya yang bakal dibimbing jurulatih kelahiran Australia, Brad Maloney.

"Saya belum dimaklumkan bilakah kem latihan akan diadakan tetapi saya ada terdengar pertengahan bulan ini.

"FAM akan cuba aturkan saya untuk beraksi dalam Kejohanan AFC.

"Tetapi jadualnya agak rumit memandangkan saya juga akan terbabit dalam perlawanan persahabatan bertemu Manchester United, Arsenal dan Chelsea.

"Kejohanan AFC amat penting kerana ia merupakan peluang kelayakan ke kejohanan tahun depan," katanya lagi.

Meskipun tidak mempunyai banyak masa untuk diperuntukan bersama skuad B-19 negara, Qureshi optimis bahawa ia tidak akan mengganggu rentaknya kelak.


Prepare for AFC U-19 Championship 2020, Malaysia U-19 invited Four Nations Tournament in Antalya, Turkey from 2-9...

Posted by Asean Football Federation on Wednesday, July 1, 2020


"Saya belum berkesempatan untuk menyaksikan banyak perlawanan membabitkan skuad B-19, oleh itu saya tidak dapat memberi gambaran jelas.

"Apapun ia sebuah pasukan yang menarik.

"Biarpun corak permainan di Asia agak berlainan berbanding di England. Namun, ini sukan berpasukan jadi saya harap kami dapat menumpukan perhatian kepada kerjasama agar dapat melangkah jauh."