Qatar tolak belanja besar anjur Piala Dunia

Oleh Penulis Jemputan 18 Disember 2018 2578
Qatar tolak belanja besar anjur Piala Dunia
Qatar menafikan mereka berbelanja besar menjelang persiapan Piala Dunia 2022 dengan memberi anggaran antara AS$8 bilion (RM33.4b) hingga AS$10 bilion (RM41.8b) sahaja dibelanjakan dalam proses menyiapkan lapan stadium yang akan digunakan sepanjang kejohanan itu nanti.

Kebanyakan media Barat sebelum ini melaporkan Qatar telah menghabiskan ratusan bilion dolar, iaitu tertinggi dalam sejarah mana-mana penganjuran Piala Dunia.

Namun, isu itu dinafikan Penolong Setiausaha Agung, Jawatankuasa Tertinggi Piala Dunia 2022, Nasser Al Khater, yang menjelaskan perbelanjaan lain lebih bertujuan kepada pembinaan bandar baru yang sedang rancak berlaku di seluruh Qatar.

Antaranya adalah Bandaraya Lusail dengan perancangan pembinaannya telah bermula awal sebelum bidaan Piala Dunia 2022 lagi.

"Ya, bajet yang diperkatakan seperti 500 bilion atau 200 bilion, ia bukan digunakan untuk penganjuran Piala Dunia. Dana untuk Piala Dunia seperti stadium serta pusat latihan hanya melibatkan kos sekitar 8 hingga 10 bilion," katanya.

Selain itu, Nasser berharap lebih ramai rakyat Malaysia mampu hadir menyaksikan Piala Dunia yang akan pertama kali dilangsungkan di Wilayah Asia Barat.

Malah, beliau yakin dengan status negara Islam, ia akan memberi banyak keselesaan kepada rakyat Malaysia untuk hadir ke Qatar.

"Ramai rakyat Qatar yang melancong ke Malaysia dan kami harap peminat bola sepak dari Malaysia akan hadir ke sini. Diharapkan Malaysia mampu melayakkan diri ke Piala Dunia."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen