Christian Pulisic adalah pemain yang mampu menyinar dalam saingan Liga Perdana Inggeris tetapi pengendali Amerika Syarikat, Gregg Berhalter, mahu dia terus mendapatkan minit permainan bersama Borussia Dortmund.

Pemain sayap berusia 20 tahun itu hanya 11 kali berada dalam kesebelasan utama pasukan daripada 18 perlawanan bagi semua kejohanan di bawah kendalian Lucien Favre musim ini dan dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea, Liverpool serta Manchester United.

Dia yang menduduki tempat kedua di belakang Kylian Mbappe bagi anugerah sulung Trofi Kopa dilihat Berhalter sebagai pemain yang mempunyai keperluan untuk beraksi serta memberi impak dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

"Sebagai pengurus, terdapat ramai pemain yang menggembirakan anda apabila bekerjasama dengan mereka dan lebih menyeronokkan apabila anda dapat memastikan mereka beraksi di tahap terbaik kerana kebolehan yang dimiliki," kata Berhalter.

"Apabila anda bercakap tentangnya untuk beraksi di England, anda melihat sesuatu yang dia miliki untuk mengucar-kacirkan lawan. Dia sangat teknikal, mempunyai pergerakan dan tendangan yang baik serta mampu melakukan hantaran terakhir.

"Saya rasa dia adalah jenis pemain yang anda lihat dalam Liga Perdana Inggeris ketika ini dan ia membuatkannya lebih seronok."

Bagaimanapun, Berhalter berkata fokus Pulisic adalah untuk meningkatkan permainannya bagi meraih lebih banyak tempat dalam kesebelasan utama bimbingan Favre.

"Setiap pemain mengharungi tempoh sukar. Ia bukan berdasarkan kualiti dimiliki tetapi lebih kepada kehendak peribadi daripada jurulatih," tambah Berhalter.

"Saya tahu dia mempunyai perancangan di sana dan Pulisic bekerja keras untuk dapat bermain. Saya rasa dia menjalankan tugas dengan baik dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah."

Dortmund mengalami kekalahan pertama di pentas Bundesliga awal pagi ini selepas dikejutkan dengan kekalahan 2-1 di tangan Fortuna Dusseldorf di tempat lawan tatkala Pulisic turut memulakan perlawanan.