Christian Pulisic diumumkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik Amerika Syarikat (AS) 2017 selepas menerima 94 peratus undian.

Pada usia 19 tahun, Pulisic menjadi pemain termuda dalam sejarah 34 tahun untuk meraih penghormatan itu apabila memadam rekod Landon Donovan yang melakukannya pada usia 21 tahun, 14 tahun lalu.

"Ia satu penghormatan besar dan saya hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengundi saya untuk memenangi Pemain Lelaki Terbaik AS," kata Pulisic menerusi pengumuman pasukan itu.

"Ini sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan untuk berada dalam kedudukan ini. Saya bersyukur kerana semua orang menyokong saya dan saya teruja untuk masa depan."

Pelbagai kumpulan atlet telah mengundi, termasuk anggota skuad kebangsaan, yang sekurang-kurangnya membuat satu penampilan pada tahun ini.

Pulisic menjadi tunjang serangan skuad AS apabila mencetak enam jaringan dan empat bantuan gol dalam sembilan perlawanan tahun ini.

Pulisic juga memahat namanya di peringkat kelab apabila menjadi tonggak utama kepada jaguh Bundesliga, Borussia Dortmund.