Neymar dan Kylian Mbappe tidak mengalami kecederaan serius tetapi Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan gandingan serangan itu memerlukan ujian susulan sebelum berdepan Liverpool dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Kedua-dua penyerang itu mengalami kecederaan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kelmarin tatkala kapten Brazil, Neymar, dibawa keluar selepas lapan minit ketika bertemu Cameroon sambil Mbappe digantikan dalam babak pertama dalam pertemuan di antara Perancis dan Uruguay.

Rekod permulaan cemerlang PSG di pentas Ligue 1 bakal diuji di laman sendiri oleh Toulouse, Sabtu ini, tetapi pengendali, Thomas Tuchel, lebih mengutamakan kecergasan Neymar dan Mbappe untuk menentang Liverpool di Parc Des Princes, empat hari kemudian.

Pihak kelab mengesahkan ujian susulan akan dilakukan buat Neymar akibat kekejangan otot kanan sambil Mbappe berdepan masalah di bahagian bahu kanan.

"Mereka akan melalui rawatan selama 48 jam sebelum sebarang pengesahan dilakukan," kata wakil PSG.

PSG kini menduduki tangga ketiga Kumpulan C bagi saingan Liga Juara-Juara ketika aksi berbaki dua perlawanan, kekurangan satu mata berbanding Napoli dan Liverpool.

Mereka akan melayan kunjungan finalis musim lalu itu sebelum bertandang ke Red Star Belgrade dalam perlawanan terakhir.