Marco Verratti percaya Paris Saint-Germain (PSG) akan "menderita" untuk menewaskan Manchester City tetapi mereka tidak memerlukan keajaiban dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu perlu mengatasi defisit 1-2 dalam perlawanan kedua di Stadium Etihad selepas ketinggalan dalam aksi pertama minggu lalu.

City berkemampuan memenuhkan bahagian tengah selepas waktu rehat perlawanan pertama di Parc des Princes yang mendorong jaringan Kevin De Bruyne dan Riyad Mahrez untuk mereka bangkit daripada ketinggalan.

Verratti menjangkakan lawan kendalian Pep Guardiola itu akan kekal memberikan ancaman sama di Manchester tetapi berasakan PSG tidak akan tunduk ketika memburu final kedua berturut-turut dalam kejohanan itu.

"Guardiola sentiasa melakukannya. Dia gemar untuk memiliki kawalan bola, memacu ke depan apabila dia mahukannya, menenangkan keadaan apabila dia mahukannya. Anda perlu fokus kepada kami," kata pemain tengah Itali itu dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Kami memiliki pasukan yang hebat, jurulatih yang hebat. Kami perlu kekal jelas, tenang, kami akan memperoleh peluang kami.

"Kami bukannya tewas 4-0 dalam perlawanan pertama, tiada keajaiban yang diperlukan. Mereka hanya memiliki kelebihan tipis tetapi kami masih di sana, masih terlalu hampir.

"Ia akan melalui perincian kecil. Jika City mahu bermain dengan bola, ia terpulang kepada kami untuk bermain dengan cara kami esok," katanya.