PSG 3 NICE 0

Paris-Saint Germain (PSG) menjarakkan kedudukan di tangga teratas dengan pasukan tangga kedua, AS Monaco, kepada tujuh mata selepas membenam cabaran Nice 3-0 dalam saingan Ligue 1 di Parc des Princes, awal pagi tadi.


Beraksi tanpa bintang termahal dunia, Neymar, yang menjalani penggantungan perlawanan, tuan rumah jelas tidak berdepan masalah apabila berada di depan seawal minit ketiga.

Angel di Maria, yang menggantikan tempat Neymar, tenang melakukan hantaran menerusi sepakan percuma dari sebelah kiri sebelum Edinson Cavani menyudahkannya dengan tandukan terbang untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Cavani hampir menambah gol kedua lima minit kemudian selepas menerima hantaran daripada Julian Draxler, namun sepakan leretnya sempat ditepis oleh penjaga gol lawan, Walter Benitez.

Kebijaksanaan penyerang Uruguay itu melepaskan diri daripada perangkap ofsaid, menghadiahkan gol kedua buat PSG selepas Cavani menghulurkan kaki untuk memerangkap Benitez sebelum mudah menolak bola masuk bagi melebarkan pendahuluan PSG kepada 2-0 pada minit ke-31.

Jaringan itu menjadikan jumlah jaringan dalam Ligue 1 buat PSG menjadi 31 pada musim ini, sekaligus muncul jaringan terbanyak dalam sejarah kelab selepas 10 perlawanan serta berada di tempat kedua dalam rekod liga setelah St Etienne melakukannya pada musim 1969/1970 dengan 37 gol.

Bersambung dalam babak kedua, skuad kendalian Unai Emery itu terus mengganas apabila hanya memerlukan tujuh minit untuk terus melebarkan jaringan, kali ini hasil gol sendiri daripada pertahanan, Dante.

Usaha pertahanan dari Brazil itu untuk menghalang Di Maria daripada menyambut bola tandukan Cavani menyaksikannya tersilap langkah sehingga tertampan bola ke dalam gawang sendiri.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, membolehkan PSG meraih 29 mata dan berpeluang untuk sekurang-kurangnya mempertahankan kelebihan tujuh mata sehingga malam ini apabila Monaco turun menentang Bordeaux.