Paris Saint-Germain (PSG) tidak akan dikenakan sebarang tindakan di atas perbelanjaan besar kelab dalam pasaran perpindahan, demikian pengesahan dibuat Liga Bola Sepak Profesional (LFP).

PSG menjadikan Neymar sebagai pemain paling mahal dalam sejarah bola sepak apabila bintang Brazil itu dibawa dari Barcelona dengan harga €222 juta (RM 1 bilion), manakala Kylian Mbappe juga tiba secara pinjaman dari juara Ligue 1, Monaco, semasa jendela perpindahan lalu.

LFP memutuskan PSG tidak melanggar sebarang peraturan kewangan walaupun membuat perbelanjaan besar sementara Monaco dan Metz juga terlepas hukuman.

Bagaimanapun, Lille dikenakan larangan perpindahan walaupun tempoh penggantungan itu tidak dijelaskan oleh LFP.

Walaupun LFP tidak memberi alasan untuk larangan Lille, kelab itu mengharungi musim yang sukar dan berada di tempat ketiga terbawah dalam Ligue 1 sehingga mereka menggantung jurulatih, Marcelo Bielsa.

Gerard Lopez, bekas pemilik Pasukan F1 Lotus, mengambil alih sebagai pemegang saham terbesar Lille pada Januari lalu tetapi dia pernah diminta menjawab mengenai pembiayaan perjanjian itu.

Lille kini tidak dapat membawa pemain baru pada Januari ini untuk merangsang perjuangan terhadap ancaman penyingkiran sementara kelab boleh menggunakan khidmat pemain seperti Thiago Mendes dan Kevin Malcuit.