MONTPELLIER 0 PSG 0

Ketiadaan pemain termahal dunia, Neymar, jelas memberi kesan besar kepada Paris-Saint Germain (PSG) apabila diikat seri 0-0 oleh Montpellier, awal pagi tadi.


Beraksi di Stadium De La Mosson, PSG turun tanpa bintang Brazil berusia 25 tahun itu selepas mengalami kecederaan kaki, memaksa pendahulu Ligue 1 itu mempertaruhkan gandingan Edinson Cavani, Julian Draxler dan Kylian Mbappe di barisan serangan.

PSG menguasai hampir keseluruhan permainan, namun ketumpulan barisan depan membolehkan Montpellier menarik nafas lega.

Cavani hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-37 hasil kesilapan pertahanan, Ruben Aguilar, namun bola terkena tangan penyerang Uruguay itu terlebih dahulu, menyebabkan pengadil terpaksa meniupkan wisel.

Kemasukan dua pemain Brazil, Lucas Moura dan Dani Alves, melancarkan asakan pelawat untuk memburu jaringan tetapi ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Benjamin Lecomte, menafikan setiap percubaan PSG untuk mengelakkan gawangnya daripada dibolosi.

Skuad kendalian Unai Emery itu meraih peluang keemasan untuk mencatat jaringan ketika permainan berbaki lima minit apabila hantaran Alves mengelirukan Lecomte, namun tindakan susulan daripada Mbappe sekadar tersasar ke bahagian kiri gol.

Kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan, menyaksikan PSG kekal di tangga teratas dengan 19 mata, satu mata mengatasi pasukan tangga kedua, Monaco.