Rafinha sah menyertai juuara bertahan Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), daripada Barcelona.

Pemain berusia 27 tahun itu melakukan 29 penampilan secara pinjaman di Celta Vigo musim lalu selepas memenangi empat kejuaraan LaLiga di Camp Nou.

Kontrak pemain tengah itu sepatutnya akan tamat pada musim panas depan dan dia tidak pernah melakukan sebarang penampilan di bawah kendalian jurulatih baru Barca, Ronald Koeman, musim ini.

Pemain kebangsaan Brazil itu merupakan adik kepada pemain yang baru ditandatangani Liverpool, Thiago Alcantara, dan tiba daripada sistem pembangunan skuad Catalan itu sebelum melakukan penampilan di peringkat senior pertamanya pada 2014.

Dia merupakan pemain simpanan yang tidak diturunkan ketika Barca menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada 2015 dan pernah dipinjamkan ke Celta dalam musim 2013-14 dan ke Inter Milan (2017-18).

PSG kendalian Thomas Tuchel turut mendatangkan Moise Kean secara pinjaman daripada Everton selain Danilo Pereira daripada Porto dalam hari terakhir jendela perpindahan.