DIJON 2 PSG 1

Paris Saint-Germain (PSG) kurang menguasai perlawanan dan tidak layak memperoleh sebarang tuah ketika tewas mengejut 1-2 kepada Dijon, kata pengurus pasukan itu, Thomas Tuchel.


Pendahulu Ligue 1 itu, yang beraksi di bawah tahap sebenar, dihukum lawan dan terpaksa menelan kekalahan ketiga mereka musim ini di Stade Gaston Gerard awal pagi tadi.

Kylian Mbappe terlebih dahulu membolosi gawang pasukan tercorot Ligue 1 itu, namun gol daripada Mounir Chouiar dan Jhonder Cadiz di antara waktu rehat membenarkan Dijon meraih kemenangan pertama dalam saingan divisyen utama itu.

Tuchel kecewa dengan aksi kurang berkualiti yang dipaparkan pasukannya dalam babak pertama dan berasakan jaringan pembukaan Mbappe telah menjejaskan aksi mereka.

"Ia bola sepak, segala-galanya boleh terjadi," katanya kepada Canal+

"Ia bukan kali pertama pasukan tercorot menewaskan pendahulu liga dan ia bukannya kali terakhir.

"Saya fikir kami tewas dalam separuh masa pertama kerana kami hanya melakukan tiga bercubaan berbanding 17 dalam babak kedua, ia perbezaan yang besar.

"Saya menjangkakan lebih daripada aspek kepantasan, mentaliti dan perebutan bola.

"Kami beraksi lebih baik dalam babak kedua tetapi dibolosi dua kali dalam perlawanan ini dan membenarkan mereka melakukan terlalu banyak percubaan, ia tidak normal."

Tuchel menambah: "Dalam separuh masa pertama, kami terlalu pasif. Menjaringkan gol tanpa mencipta peluang mungkin menjadi perkara terburuk buat kami.

"Kami tidak pernah dapat menguasai permainan dan tidak beraksi dengan ketepatan, kepantasan atau mentaliti yang diperlukan," katanya.

PSG memenangi keempat-empat perlawanan Ligue 1 sebelumnya dengan menjaringkan 13 gol dan hanya sekali dibolosi untuk mengemudi carta dengan kelebihan lapan mata.

Bagaimanapun, juara bertahan itu tewas kepada Rennes, Reims dan yang terbaru, Dijon, sepanjang musim ini.

Tuchel memberi amaran buat pemainnya bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah sesetengah lawan.

"Jika kami beraksi seperti ini, segala-galanya boleh terjadi, itulah bola sepak.

"Mereka katakan kami berada di tahap yang berbeza tetapi ia hanya jika kami memberikan 100 peratus.

"Jika kami tidak beraksi sebagai satu pasukan atau dengan keamatan yang diperlukan, semuanya boleh berlaku.

"Seperti yang saya katakan, mungkin perkara terburuk hari ini adalah kami menjaringkan gol kerana kami tidak layak memperolehnya.

"Kami tidak beraksi sebagai satu pasukan dan kami kekurangan struktur.

"Kami pada akhirnya menghasilkan 17 percubaan tetapi kami mungkin tidak layak untuk bertuah," katanya lagi.