Paris Saint-Germain (PSG) memberikan sokongan penuh buat penyerang mereka, Neymar, yang menuduh pertahanan Marseille, Alvaro, melakukan ejekan perkauman, dan mahukan siasatan menyeluruh berkenaan isu itu.

Bintang Brazil, Neymar, merupakan antara lima pemain yang dilayangkan kad merah berikutan pergaduhan dalam waktu kecederaan perlawanan Le Classique, di mana PSG tewas 0-1 kepada Marseille di Parc des Princes semalam.

Semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Neymar memukul belakang kepala Alvaro sebelum pemain itu menciap dalam Twitter berkata bahawa satu-satunya penyesalannya ketika itu adalah tidak menumbuk Alvaro di muka kerana menggunakan ayat-ayat perkauman.

Alvaro menafikan dakwaan itu dalam akaun media sosial miliknya dan tindakan itu semakin memuncakkan rasa berang Neymar.

PSG mahu badan pengelola bola sepak Perancis, Ligue de Football Professionnel (LFP), untuk menyiasat dakwaan itu dengan berkata dalam laman web rasmi mereka: "Paris Saint-Germain menyokong sepenuhnya Neymar Jr, yang dilaporkan menjadi sasaran ejekan perkauman oleh pemain lawan.

"Kelab ini sekali lagi menegaskan bahawa tiada ruang untuk perkauman dalam masyarakat ini, dalam bola sepak atau dalam hidup kita dan mahu setiap orang menentang segala bentuk sikap perkauman di seluruh dunia.

"Selama lebih 15 tahun, kelab ini komited untuk menentang segala bentuk diskriminasi bersama rakkan kongsi, SOS Racisme, Licra dan Sportitude.

"Paris Saint-Germain menantikan pihak Jawatankuasa Disiplin LFP untuk menyiasat segala fakta dan sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama yang diperlukan LFP," katanya.