PSG sahkan 'borang berbentuk perkauman' rekrut produk akademi  

Oleh Penulis Jemputan 9 November 2018 292
 PSG sahkan 'borang berbentuk perkauman' rekrut produk akademi  
Paris Saint-Germain (PSG) menegaskan mereka mengutuk sekeras-kerasnya 'semua bentuk diskriminasi dan perkauman' setelah mengesahkan 'borang yang tidak sepatutnya' digunakan oleh akademi kelab tersebut.

Laporan oleh Mediapart dan program 'Envoye Special' itu susulan pendedahan yang dikeluarkan 'Football Leaks' baru-baru ini yang mengesan PSG telah mendokumenkan hubungan etnik seseorang pemain berpotensi yang akan diserap dalam akademi berkenaan. 

Laporan itu juga mendakwa wujud pemain berpontesi Perancis yang tidak ditawarkan kontrak oleh PSG atas faktor warna kulitnya yang menyaksikan akademi kelab itu hanya menandatangani seorang pemain berkulit hitam sekitar 2013 hingga 2018.

Menjawab dakwaan tersebut, PSG berkata dalam satu kenyataan: "Paris Saint-Germain sekali lagi menegaskan penentangan terhadap semua bentuk diskriminasi, perkauman atau pemantauan etnik.

"Paris Saint-Germain mengesahkan memang benar wujudnya borang akademi yang digunakan oleh jabatan pusat latihan yang bertanggungjawab untuk mencari bakat pemain di luar wilayah Ile de France. Borang-borang ini telah diperkenalkan hasil inisiatif peribadi ketua jabatan tersebut. 

"Apabila dimaklumkan pada awal bulan lalu, Paris Saint-Germain telah melancarkan siasatan dalaman untuk memahami bagaimana amalan sedemikian boleh wujud selain memutuskan langkah-langkah yang perlu diambil.

"Dengan kemunculan bakat muda, ia membuktikan bahawa di Paris Saint-Germain, masa depan pemain diputuskan berdasarkan kemahiran dan tingkah laku mereka, baik di lapangan dan di dalam kumpulan semata-mata.

"Pada awal bulan lalu, kami dihubungi oleh wartawan dari konsortium media EIC mengenai kaedah yang diamalkan oleh jabatan yang bertanggungjawab dalam mengintai bakat di luar rantau Ile de France. Borang-borang ini mengandungi bidang pengenalan yang tidak dapat diterima akal. 

"Pengurusan kelab tidak menyedari pemantauan etnik atau apa-apa bentuk sedemikian di akademi ini. Mengenai maklumat yang telah didedahkan, borang-borang tersebut jelas mengkhianati semangat dan nilai yang diterapkan Paris Saint-Germain."

Kenyataan itu juga merujuk kepada pautan laporan mengenai tuduhan terhadap kakitangan kelab dan PSG mengulas: "Majlis Kerja telah merujuk perkara itu kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Jean-Claude Blanc, yang telah mengingatkan kembali peraturan dan nilai-nilai yang harus diamalkan mengenai polisi pengambilan pemain.

"Oleh kerana tidak ada bukti konkrit untuk menyokong kenyataan ini, kelab tidak dapat melaksanakan langkah-langkah disiplin yang sesuai.

"Selepas dihubungi wartawan berkenaan, Paris Saint-Germain disertai oleh firma undang-undang segera melancarkan siasatan dalaman untuk memahami bagaimana amalan sedemikian boleh wujud dan memutuskan langkah-langkah yang perlu diambil."

Sehubungan itu, PSG memutuskan untuk menentukan kaedah awal yang akan digunakan oleh semua pencari bakat dan mereka sentiasa dipantau.

PSG juga memutuskan untuk memperkenalkan kod tingkah laku, prosedur amalan etika serta mempromosikan lagi budaya etika dalam kalangan semua pekerja.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen