“Jika anda kumpulkan semua pemain terbaik dalam satu pasukan, persaingan akan hilang dengan serta-merta,” kata presiden Lyon, Jean-Michel Aulas, yang berang dengan tindakan Paris Saint-Germain (PSG) untuk mendapatkan penyerang Monaco, Kylian Mbappe.

PSG dikatakan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat Mbappe walaupun baru sahaja memecahkan rekod dunia melalui pembelian bintang Brazil, Neymar, dari Barcelona.

Senario itu mewujudkan spekulasi bahawa Lucas Moura akan berpindah ke arah bertentangan dan menyertai skuad kendalian Leonardo Jardim itu.

Situasi itu membuatkan Aulas menyifatkan persaingan dalam Ligue 1 akan lumpuh jika perkara sebegitu berterusan.

“Apabila menyaksikan perlawanan pada Ahad, adakah PSG perlu mendapatkan Mbappe?

“Adakah ia menjadi satu kepentingan dalam pembangunan bola sepak?

“Saya khuatir ia hanya disebabkan oleh kemampuan kewangan dan bukan keperluan pasukan. Jika anda mengumpulkan semua pemain terbaik dalam satu pasukan, anda tidak lagi berada dalam satu persaingan,” tambahnya.

Aulas juga mengesahkan bahawa pasukannya sedang cuba mendapatkan pemain tengah PSG, Grzegorz Krychowiak, yang gagal menembusi skuad utama pasukan sejak tiba dari Sevilla, musim lepas.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.