Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi, kelu untuk mengulas kejayaan kelab Perancis itu mencapai impian mereka untuk mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) buat julung kalinya.

PSG melepasi rintangan RB Leipzig 3-0 dalam pertemuan separuh akhir di Lisbon awal pagi tadi hasil gol sumbangan daripada Marquinhos, Angel Di Maria dan Juan Bernat.

Marquinhos meletakkan PSG di depan pada minit ke-11 apabila menyambut sepakan percuma Di Maria dan tiga minit menuju waktu rehat, tonggak kelahiran Argentina itu meletakkan pasukannya di kedudukan lebih selesa hasil daripada kelincahan Neymar.

Selepas itu, Di Maria memberi lorongan berharga buat Bernat sebelum permainan berusia sejam untuk memastikan PSG membuat perhitungan gelaran sama ada dengan juara Bundesliga, Bayern Munich, atau seteru Ligue 1, Lyon, dalam perlawanan akhir, awal pagi Isnin depan.





PSG -- yang berpeluang menjulang empat gelaran musim ini -- mula menawan saingan domestik sejak Qatar Sports Investments (QSI) membeli pasukan itu pada 2011, tetapi kelab ibu kota Perancis itu masih belum berkesempatan menjulang mahkota Eropah yang amat diidam-idamkan.

"Ini adalah malam yang bersejarah," kata Al-Khelaifi kepada RMC Sport.

"Buat pertama kalinya kami mara ke final UCL. Barisan pemain, mereka telah menampilkan perlawanan yang luar biasa, ini adalah malam yang luar biasa ketika kami perlu berdepan lawan yang sukar.

"Saya bangga dengan kakitangan teknikal. Kami tampil hebat selepas melalui tempoh sukar. Kini kami akan beraksi dalam final. Ini adalah satu impian. Saya harap kami akan terus maju. Saya tidak tahu apa yang harus saya katakan kerana ia adalah malam yang indah."



UCL telah dilangsungkan secara tertutup sejak kejohanan berprestij itu bersambung bulan ini selepas diancam krisis COVID-19, justeru Al-Khelaifi menambahkan: "Bagi saya, penyokong sangat penting, mereka tidak dapat bersama kami.

"Saya tahu hati mereka tetap bersama dengan kami, ini sesuatu yang luar biasa. Kami telah lama menantikan kemenangan ini, malam bersejarah ini, kejayaan ini untuk anda (penyokong).

"Impian kami adalah UCL. Kami semakin hampir. Saya berkata kepada pemain: 'Malam ini, anda telah beraksi dengan luar biasa tetapi kami tidak harus berhenti di sini, kami mahu menang dalam final'.

"Saya tidak merujuk mengenai keputusannya tetapi daripada segi bola sepak, pemain saya mahu mencurahkan segalanya. Saya sangat bangga dengan semua orang."