Thomas Tuchel khuatir Paris Saint-Germain (PSG) hanya akan memiliki 11 pemain untuk pertemuan Ligue 1 dengan Nimes, awal pagi esok, akibat krisis kecederaan, penggantungan dan protokol COVID-19.

Juara bertahan Perancis itu mengintai kemenangan kelima berturut-turut apabila mereka melakukan perjalanan ke Stade des Costieres selepas dua minggu jadual antarabangsa.

Bagaimanapun, Tuchel dalam sidang akhbar semalam mengesahkan bahawa sebilangan anak buahnya pasti tidak akan menyertai perlawanan itu atau dalam keraguan.

Marquinhos, Marco Verratti, Julian Draxler, Thilo Kehrer, Juan Bernat dan Mauro Icardi masing-masing tercedera, Angel Di Maria dan Layvin Kurzawa pula menjalani penggantungan sementara Ander Herrera positif pandemik itu.

Muka baru, Danilo Pereira dan Colin Dagba, juga mempunyai kontrak dengan kes COVID-10 dan perlu menjalani ujian calitan hari ini.

Timbul juga tanda tanya apakah Neymar dan Kylian Mbappe sempat cergas untuk dipertaruhkan selepas memainkan peranan penting bersama skuad kebangsaan, sehubungan itu ia menjadi kebimbangan buat Tuchel, lebih-lebih lagi mereka akan menghadapi Manchester United ketika membuka kempen Liga Juara-Juara (UCL), Rabu depan.


"Draxler, Verratti dan Marquinhos tidak akan beraksi menentang Nimes dan belum tentu akan berdepan Manchester," jelas pengurus berbangsa Jerman itu.

"Herrera pula dijangkiti COVID-19. Danilo mempunyai kontak dengan Cristiano Ronaldo, jadi dia juga tidak dapat bersama kami.

"Dagba ada kontak dengan pemain B-21, Maxence Caqueret, jadi hari ini kami akan lihat sama ada dia terus negatif dalam ujian calitan sebelum dibenarkan kembali menyertai latihan.

"Kehrer masih cedera dan akan belum berlatih sejak beberapa minggu lalu. Bernat juga begitu sementara Icardi ditimpa masalah di ligamen lutut dalam sesi latihan Rabu lalu.

"Namun, ia bukan masalah besar tetapi dia tidak dapat bersama kami bertemu Nimes dan Manchester United.

"Kami memerlukan pasukan yang bercita-cita tinggi dan berani untuk pertemuan esok. Kami mahu menyerang dan tidak melepaskan gol. Kami mahu bersedia untuk berhitung dengan Manchester United.

"Selain itu, kami perlu berhati-hati menangani pemain yang baru pulang daripada perlawanan antarabangsa seperti Mbappe dan Neymar. Mungkin kami hanya akan mempunyai 11, 12 atau 13 pemain sahaja.

"Ini akan membuatkan saya sakit kepala esok tetapi kami mahu mendorong pasukan untuk mencapai kemenangan sebagai bekalan menghadapi Manchester United."

Dalam masa sama, Tuchel tidak ambil hati dengan teguran Pengarah Sukan PSG, Leonardo, ekoran aktiviti lembab mereka dalam pasaran perpindahan lalu.

"Saya di sini berjuang demi pasukan. Kini kami mahu terus memandang ke depan."