PSG 3 BREST 0

Mauricio Pochettino gembira dengan kemajuan yang dicapai Paris Saint-Germain (PSG) sejak mengambil alih kerusi panas itu sambil mengingatkan barisan pemainnya agar tidak meremehkan kebangkitan Barcelona minggu depan.


Kelab gergasi Perancis itu merakamkan kemenangan 3-0 ke atas Brest dalam pusingan 32 Coupe de France, awal pagi tadi, untuk mencatat kemenangan ke-12, satu seri dan dua kekalahan dalam tempoh dua bulan pertama Pochettino di Parc des Princes.

Ia merangkumi pencapaian tiga kemenangan berturut-turut awal pagi tadi menuju aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan Barca, lebih-lebih lagi PSG berkelebihan 4-1 susulan penampilan mengagumkan di Camp Nou.

Belum ada pasukan dalam sejarah piala berprestij di Eropah itu yang pernah mara ke pusingan kalah mati selepas kekalahan pertama di gelanggang sendiri dengan tiga gol, tetapi Pochettino belum berhasrat untuk mengintai sejauh suku akhir sekalipun.

"Kami fokus kepada satu persatu perlawanan dan berharap dapat menjuarai setiap kejohanan," kata pengurus kelahiran Argentina itu kepada Eurosport.

"Bagi kami, ini adalah satu cabaran luar biasa.

"Perlawanan seterusnya ialah bertemu Barcelona. Kami perlu berhati-hati kerana mereka adalah pasukan yang mantap dan kami perlu kekal fokus."



Kylian Mbappe mencetak dua gol buat PSG dalam pertemuan di Stade Francis-Le Ble itu sambil satu gol lagi ditokok oleh Pablo Sarabia bagi memastikan juara bertahan berkenaan merakamkan kemenangan yang ke-14 dalam kejohanan tersebut.

PSG sempat menerima ancaman sebelum Mbappe membunuh semangat juang lawan ketika permainan bersisa 17 minit sambil dibantu ketangkasan rakan sepasukan, Sergio Rico, di depan gawang apabila menyelamatkan tujuh percubaan berbahaya berbanding tiga oleh rakan seposisinya, Sebastien Cibois.

Namun, Pochettino tetap gembira dengan persembahan pasukannya, khususnya cara mereka memberi tekanan di bahagian tengah -- Leandro Paredes mengetuai kawasan itu dengan 12 pintasan.

"Memberi tekanan seperti itu membuktikan falsafah permainan saya. Selepas dua bulan berusaha dan telah terlibat lebih kurang 15 perlawanan sejak saya ke mari, ia mulai menampakkan hasilnya," katanya.

"Pemain mendengar idea dan cara saya mahu kami beraksi.

"Saya juga gembira dengan cara pemain bekerja setiap hari dan kami menghampiri prestasi terbaik kami. Kami sentiasa mencari kesempurnaan tetapi saya sudah puas dalam soal ini.

"Matlamat hari ini adalah untuk menang dan memenuhi syarat gaya permainan saya jadi saya gembira dengan persembahannya. Kami memberikan beberapa kesempatan kepada lawan tetapi Sergio bertindak hebat. Kami harus banyak memikirkan tentang perlawanan ini dan bukannya terhadap Rabu depan (waktu tempatan)."

Bintang Brazil, Neymar, antara dalam senarai kecederaan untuk bertemu bekas majikannya, Barca, tetapi Abdou Diallo berharap rakan sepasukannya itu sempat cergas.

"Dia menjalani sesi latihan semalam. Kami akan melihat bagaimana perasaannya. Saya harap dia dapat bersama kami," katanya.