PSG mahu teruskan aksi Liga Juara-Juara selepas Ligue 1 dibatalkan

Oleh Muzaffar Musa 29 April 2020 69
PSG mahu teruskan aksi Liga Juara-Juara selepas Ligue 1 dibatalkan
Presiden, Nasser Al-Khelaifi, berjanji bahawa Paris Saint-Germain (PSG) akan meneruskan cabaran mereka dalam Liga Juara-Juara Eropah biarpun kesemua aktiviti bola sepak di Perancis tidak dibenarkan sehingga September depan.

Katanya, kelab itu bersedia untuk mengadakan perlawanan mereka di negara lain dan PSG akan terus menantikan siapa lawan yang akan dihadapi mereka dalam suku akhir kejohanan itu.

Kemenangan ke atas Borussia Dortmund dalam pusingan 16 membawa skuad kendalian Thomas Tuchel itu ke suku akhir tetapi disebabkan pandemik Covid-19, kesemua aktiviti sukan di Perancis tergendala.

Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, mengumumkan dalam ucapannya semalam bahawa tiada sebarang aktiviti bola sepak profesional dibenarkan sehingga September depan dan ia bermakna musim liga domestik di negara itu sudah berakhir.

"Kami menghormati keputusan Kerajaan Perancis," katanya dalam satu kenyataan seperti yang dilaporkan L'Equipe.

"Dengan persetujuan UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah), kami bersedia untuk mengambil bahagian dalam fasa akhir Liga Juara-Juara di tempat dan tarikh yang akan ditetapkan.

"Jika ia tidak mungkin dapat dimainkan di Perancis, kami akan bermain di luar negara dan akan memastikan keselamatan dan kesihatan pemain dan pegawai kami dalam keadaan terbaik," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen