Paris Saint-Germain (PSG) melantik Mauricio Pochettino sebagai ketua jurulatih baru.

Bekas pengurus Tottenham itu menandatangani kontrak sehingga Jun 2022 dengan diberikan pilihan untuk memanjangkannya setahun lagi bersama pasukan juara Ligue 1 berkenaan.

Dia akan menggantikan Thomas Tuchel, yang pemecatannya akhirnya disahkan Selasa lalu selepas beberapa hari menjadi spekulasi.

Pengendali berbangsa Jerman itu dipecat susulan ketidaktentuan prestasi pasukan itu sejak permulaan musim 2020-21 walaupun telah membawa PSG ke final pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Ogos lalu -- sebelum tewas 0-1 kepada Bayern Munich.

Kekalahan di peringkat kumpulan kepada Manchester United dan RB Leipzig musim ini meletakkan Tuchel di bawah tekanan walaupun dia berhasil membawa pasukan itu layak ke pusingan 16 dengan memenangi tiga perlawanan terakhir.

Bagaimanapun, terdapat dakwaan bahawa pihak pengurusan tertinggi PSG gusar dengan kemampuan Tuchel untuk membawa pasukan itu mengatasi Barcelona dalam perlawanan pusingan kalah mati.

Empat kekalahan daripada 17 perlawanan Ligue 1 yang meletakkan PSG ketinggalan satu mata di belakang pendahlu, Lyon, turut menjadi sebahagian penyumbang kepada pemecatan Tuchel manakala pertengkarannya bersama pengarah sukan, Leonardo, berkaitan perpindahan pemain turut menggugat kedudukannya.

Pochettino sebelum ini dikaitkan untuk menyertai Real Madrid dan Manchester United susulan dipecat Spurs pada November tahun lalu selepas lima tahun mengemudi pasukan London itu.

Walaupun dia gagal memenangi sebarang trofi, bekas jurulatih Espanyol dan Southampton itu telah menjadikan Spurs sebagai pencabar kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selain membawa pasukan itu ke final UCL pada 2019 sebelum tewas kepada Liverpool.

Selepas mengambil alih pasukan itu pada 2014, Pochettino membawa Spurs menamatkan lima musim EPL di kedudukan empat teratas.

Dia mencapai kemenangan ke -100 kejohanan itu dalam perlawanan yang ke-197 -- rekod keenam terpantas dalam sejarah EPL dan berkongsi kedudukan dengan bekas pengurus Liverpool, Kenny Dalglish.