PSG kenduri gol di Paris

Oleh Penulis Jemputan 23 November 2017 51
PSG kenduri gol di Paris
PSG 7 CELTIC 1

Walaupun telah layak ke pusingan kedua, Paris Saint-Germain (PSG) jelas belum berpuas hati apabila membelasah Celtic 7-1 dalam aksi Kumpulan B, Liga Juara-Juara Eropah di Parc Des Princes, awal pagi tadi.


Beraksi di laman sendiri, PSG turun dengan tonik terbaik selepas menewaskan Nantes 4-1 dalam aksi domestik pada hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, skuad kendalian Unai Emery itu dikejutkan dengan gol awal lawan ketika aksi baru berusia 56 saat, selepas Moussa Dembele melakukan tendangan dari dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol, Alphonse Areola.

Pendahuluan itu tidak kekal lama apabila pemain termahal dunia, Neymar, bijak menyempurnakan bola lorongan Adrien Rabiot untuk menyamakan kedudukan, lapan minit kemudian.

Neymar sekali lagi mendatangkan masalah buat anak-anak buah Brendan Rodgers pada minit ke-22, kali ini bintang Brazil itu memperdayakan dua pertahanan Celtic sebelum mudah menewaskan Craig Gordon untuk meletakkan PSG di depan.

Enam minit kemudian, aksi cemerlang terus dipamerkan Neymar apabila tandukannya membolehkan Edinson Cavani menjaringkan gol ketiga pasukan, sekaligus menyaksikan penyerang Uruguay itu meledakkan jaringan ke-150 peribadi bersama PSG.

Kylian Mbappe meletakkan skuad kendalian Emery itu dalam kedudukan cukup selesa menuju rehat apabila mencatat gol keempat tuan rumah pada minit ke-35 selepas menerima bola daripada hantaran pendek Marquinhos.

Separuh masa kedua menyaksikan pengawalan bola yang lebih kemas ditunjukkan oleh tuan rumah tanpa memberikan sebarang ruang buat pelawat untuk cuba mendapatkan gol dan hasilnya, PSG meraih gol kelima pada minit ke-75 menerusi rembatan leret pemain tengah Itali, Marco Verratti.

Cavani menambah derita buat pelawat dengan percubaan kaki kanan dari jarak dekat pada minit ke-79 sebelum Dani Alves melengkapkan kenduri gol PSG seminit kemudian menerusi rembatan yang melencong ke penjuru kanan gol tatkala Gordon hanya mampu melihat.

Kemenangan itu meletakkan anak buah Emery di tangga teratas Kumpulan B dengan 15 mata selepas mencatat kemenangan bersih dalam lima perlawanan.

PSG bakal menamatkan saingan peringkat kumpulan bertemu Bayern Munich pada 6 Disember ini, namun kedua-dua pasukan sudah pun mengesahkan tempat dalam kelompok 16 terakhir.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen