PSG kecam tindakan liar penyokong sendiri 

Oleh Penulis Jemputan 5 Oktober 2018 212
 PSG kecam tindakan liar penyokong sendiri 
Paris Saint-Germain (PSG) mengecam tingkah laku segelintir penyokong sendiri selepas kelab itu dituduh mencetuskan gangguan orang ramai dan membakar suar dalam kemenangan ke atas Red Star Belgrade, semalam. 

Penyokong kedua-dua kelab dikatakan bertempur sebelum sepak mula aksi Liga Juara-Juara (UCL) itu yang memihak kepada PSG 6-1 di Parc des Princes, semalam. 

Segelintir peminat PSG kemudian menyalakan suar pada penghujung perlawanan yang mendorong Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk mengenakan dua pertuduhan terhadap juara Ligue 1 itu. 

Lantaran itu, kelab berkenaan mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan kumpulan penyokong tersebut dan menjauhkan diri daripada penyokong 'ultra' mereka.

"PSG mengutuk keras insiden yang berlaku selepas perlawanan menentang Red Star Belgrade," kata mereka dalam satu kenyataan.

"Kelab ini turut berdukacita dan mengutuk kerosakan yang berlaku dan pembakaran suar yang dilakukan pada penghujung perlawanan. 

"Kelab berhasrat untuk tidak melengah-lengahkan penangkapan terhadap mereka yang telah dikenal pasti sambil menegaskan hasrat untuk bekerjasama rapat dengan pihak polis serta semua pihak berkuasa awam.

"PSG mengulangi keinginannya untuk menyekat semua tingkah laku yang berisiko berdasarkan langkah keselamatannya yang telah dikuatkuasakan selama beberapa tahun kebelakangan ini. 

"PSG kecewa dengan sikap tidak hormat segelitir individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Collectif Ultras Paris, khususnya elemen tidak berwibawa yang mempengaruhi penyokong ultra di Parc des Princes sejak Oktober 2016.

"Kelab akan mengambil semua tindakan yang diperlukan bersama pihak berkuasa awam dan UEFA."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen