Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani, menegaskan semua pemain perlu terus bersatu walaupun dilanda kontroversi selepas bertelingkah dengan rakan sepasukan, Neymar, mengenai tugasan mengambil sepakan penalti, baru-baru ini.

Cavani, yang menggalas tanggungjawab mengambil sepakan penalti buat PSG sejak sekian lama, bertelagah dengan Neymar ketika menentang Lyon dalam saingan Ligue 1.

Bagaimanapun, dia dan bintang Brazil itu dilaporkan sudah berdamai, dan penyerang Uruguay itu menyifatkan semua pemain harus bersatu untuk memastikan sasaran yang diberikan oleh pihak pengurusan pada musim ini berjaya dicapai.

“Dalam pasukan, kami adalah berlainan. Setiap pemain memiliki cara tersendiri dalam sesuatu perkara tetapi apabila di atas padang, kami perlu bekerjasama sebagai satu keluarga untuk mencapai objektif,” ujar Cavani.

Dia turut meledak satu gol ketika membantu PSG membenam cabaran Bayern Munich 3-0 dalam aksi kedua Liga Juara-Juara Eropah, kelmarin.