Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, berharap Kylian Mbappe kembali cergas untuk menghadapi Nice Ahad ini.

Mbappe masih belum beraksi untuk PSG bagi musim 2020-21 selepas diuji positif COVID-19 ketika menyarung jersi Perancis, awal bulan ini.

Juara bertahan Ligue 1 itu tewas dalam dua perlawanan pembukaan musim ini sebelum melakar kemenangan 1-0 ke atas Metz, awal pagi tadi.

Lantas, Tuchel berharap Mbappe -- yang menyumbangkan 30 gol sepanjang 2019-20 -- sudah bersedia menggempur Nice.

"Kylian berasa baik. Dia tidak mengalami sebarang gejala," katanya dalam sidang akhbar.

"Dia diuji positif untuk COVID-19 tetapi dia tidak mengalami sebarang gejala. Dia berasa baik. Dia menjalani beberapa sesi latihan individu.

"Mungkin kami akan melakukan perkara yang sama dengan Angel (Di Maria), Marquinhos dan Mauro (Icardi).

"Sekiranya tiada halangan, ia bergantung sama ada dia dibenarkan berlatih dengan pasukan. Kami mungkin akan memutuskan kedudukannya Sabtu ini. Saya harus berbincang dengan doktor dan Kylian, kami akan membuat keputusan bersama-sama."


PSG akan turun tanpa Neymar, Leandro Paredes dan Layvin Kurzawa selepas ketiga-tiganya dibuang padang dalam kekalahan kepada Marseille minggu lalu.

Kurzawa digantung enam perlawanan, Neymar dan Paredes masing-masing pula bakal terlepas dua perlawanan, namun penggantungan pemain Argentina itu mengejutkan Tuchel.

"Lebih baik jika saya tidak meluahkan tentang apa yang saya sedang fikirkan kerana saya ingin berada di padang untuk perlawanan seterusnya," katanya.

"Saya tidak pernah melihat seorang pemain yang menerima dua kad kuning (Paredes) dikenakan penggantungan dua perlawanan.

"Saya sangat terkejut, tetapi inilah yang terjadi."