Paris Saint-Germain (PSG) telah didenda EUR2,000 (RM9,257) selepas penyokongnya membentangkan sepanduk yang mencemuh Neymar ketika pasukan itu meraih kemenangan ke atas Nimes dalam saingan Ligue 1.

Bintang berusia 27 tahun itu menjadi sasaran penyokong ketika PSG merekodkan kemenangan 3-0 di Parc des Princes, 11 Ogos lalu ekoran spekulasi pemain itu mahu meninggalkan pasukan.

Salah satu sepanduk yang dibentang menggesa penyerang kebangsaan Brazil itu meninggalkan juara Ligue 1 itu manakala satu lagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tingkah lakunya.

Jawatankuasa Disiplin Liga Bola Sepak Profesional (LFP) mengumumkan hukuman tersebut semalam dengan mendenda PSG.

"Kelakuan penyokong PSG: menggunakan peranti piroteknik dan sepanduk yang menyinggung perasaan," demikian menurut sebahagian daripada kenyataan yang dikeluarkan LFP.

"Denda sebanyak EUR2,000 dikenakan kepada PSG."

Neymar bakal beraksi untuk PSG musim ini walaupun terdapat laporan dia bakal kembali ke Barcelona atau menyertai gergasi LaLiga, Real Madrid.

Desas-desus perpindahan pemain itu dijangka akan berterusan sehingga jendela peprindahan yang bakal ditutup 2 September ini.

Neymar telah menjaringkan 51 gol dalam 58 perlawanan sejak menyertai PSG dengan perpindahan memecah rekod dunia yang bernilai EUR222 juta (RM1.1 bilion) dua tahun lalu.