PSG buru pemain tengah bertahan 

Oleh Penulis Jemputan 19 Disember 2017 2129
PSG buru pemain tengah bertahan 
Unai Emery bercadang untuk menjengah jendela perpindahan Januari dalam usaha mendapatkan pemain tengah bertahan buat Paris Saint-Germain (PSG). 

Sandaran kelab Perancis itu, Thiago Motta, terlepas aksi dalam enam minggu terakhir gara-gara kecederaan lutut sehingga memaksa Emery mencari penyelesaian yang lebih mudah.

Adrien Rabiot telah ditempatkan di bahagian tengah pada musim ini sementara Giovani Lo Celso beraksi dalam kesebelasan utama ketika mereka mencetak kemenangan 4-1 ke atas Rennes pada minggu lalu sebelum diganti pada babak kedua dengan Motta, yang kembali cergas.

Begitupun, Emery terkesan dengan sumbangan terhad pemain muda Argentina berkenaan apabila dia membayangkan untuk membawa masuk pemain yang lebih berpengalaman sekiranya Motta dilanda  masalah lain.

Bercakap dalam sidang akhbar menjelang lawatan ke Caen, awal pagi esok, Emery berkata: "Kami kekurangan pemain dengan berprofil seperti Thiago Motta, pemain nombor enam sejati.

"Mungkin kami boleh mendapatkan seorang pemain, malah kami mempunyai pemain yang mampu mengisi tugas itu seperti Giovani Lo Celso pada Sabtu lalu. Dia telah melakukannya dengan baik."

Emery mengesahkan bahawa Thomas Meunier akan memulakan aksi pagi esok kerana Dani Alves digantung.

Pemain antarabangsa Belgium itu lebih kerap menjadi pemain simpanan pada musim ini, begitupun Emery menegaskan posisi itu masih terbuka.

Dia menambah: "Dani Alves digantung esok dan membolehkan Thomas untuk memiliki kesempatan beraksi.

"Saya telah bercakap kepada pemain mengenai peranan mereka serta aksi mereka yang terbatas. Peranan mereka boleh berubah sepanjang musim.

"Kami sangat gembira dengan Thomas serta perkembangannya sejak tahun lalu. Terdapat persaingan sebenar untuk merebut posisi bek kanan di antara dia dan Dani.

"Kami mahu dia bersedia dan bermain dengan baik," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen