PSG 2 LIVERPOOL 1

Jurgen Klopp kecewa dengan pendekatan Paris Saint-Germain (PSG) selepas menyaksikan pasukan bimbingannya, Liverpool, tewas 1-2 dalam aksi Kumpulan C, Liga Juara-Juara (UCL) di Parc des Princes.


Setelah mara ke perlawanan akhir musim lalu sebelum tewas kepada Real Madrid, keputusan perlawanan pada awal pagi tadi menyebabkan Liverpool kini di ambang penyingkiran.

Jaringan babak pertama daripada Juan Bernat dan Neymar menyebabkan Liverpool terpaksa menundukkan Napoli 1-0 atau dengan dua gol dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Anfield kelak.

Liverpool mengutip enam kad kuning tetapi Klopp berasakan terjahan keras ke atas Joe Gomez oleh Marco Verratti sepatutnya dihukum lebih keras lagi.

Pengadil, Szymon Marciniak, berdepan perlawanan mencabar yang menyaksikan dia sempat mengubah fikirannya selepas memberi isyarat untuk sepakan sudut selepas Sadio Mane dicabar oleh Angel Di Maria sebelum menunjuk ke arah titik penalti.

Klopp berasakan PSG menjejaskan arus permainan dengan lebih gemar menjatuhkan badan dalam usaha mengekang Liverpool daripada memburu jaringan penyamaan.

"Apabila permainan bermula seperti itu, sukar untuk mendapatkan keyakinan," kata Klopp kepada BT Sport.

"Kami tidak pernah memperagakan aksi 100 peratus tetapi ia sudah cukup untuk mendapatkan hasil di sini.

"Halangan kecil kami adalah 500,000 gangguan dalam babak kedua dan pengadil masih menganggap dia melakukan semuanya dengan betul.

"Kami telah membuktikan bahawa kami adalah pasukan paling adil dalam kedudukan Fair Play di England selama dua atau tiga musim berturut-turut.

"Mereka mudah rebah bagaikan kami menyiku mereka dan memperlihatkan kami seakan-akan beraksi agresif. Ia tidak membantu. Mereka bijak dalam soal itu dan pengadil membiarkannya berlaku."

Bagaimanapun, Klopp berhati-hati agar tidak mencetuskan kontroversi atas komen pasca perlawanannya berikutan Liverpool tewas ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan di tempat lawan buat kali pertama.

"Masalah kecil yang sedang saya hadapi adalah keperluan untuk saya mereka cerita," katanya. "Semuanya mengenai Liverpool," kata Klopp.

"Saya nampak kejadian itu di dalam kawasan penalti tetapi tidak bermakna ia adalah pelanggaran. Saya tidak tahu apa sebabnya.

"Kemudian saya menyaksikan terjahan Verratti dan saya terkejut. Ia sungguh sukar. Kami kehilangan rentak, kami tidak begitu bagus beraksi.

"Permainan ini berlangsung sengit. Berapa kad kuning yang kami terima? Lima, enam, tujuh atau lebih? Ia gila. Bagaimana anda boleh memberikan kad yang sama terhadap seseorang pemain yang memegang pihak lawan berbanding terjahan keras seperti Verratti?

"Ini sesuatu yang sukar tetapi adalah menjadi tugas kami untuk menerima hakikat. Saya masih berasa sedikit emosi mengenainya tetapi ia tidak akan kekal seperti ini dan kami akan membuat analisis yang betul dan bersedia untuk aksi 'derby' ( menentang Everton, Ahad ini) dan beberapa perlawanan lagi.

"Kemudian pada 11 Disember, kami akan mengadakan perlawanan terakhir yang betul di Anfield (lawan Napoli)."

Klopp meluaskan kritikannya terhadap PSG dalam temu bual di televisyen selepas perlawanan.

"Anda menyaksikannya. Kami kalah dan mereka menyumbat dua gol sementara kami mendapat satu jaringan, inilah situasinya," kata Klopp menjadi BeIN SPORTS.

"Tetapi, begitu banyak gangguan dalam perlawanan seperti ini. Semua orang tahu apa yang mereka mahu lakukan, terutama apa yang Neymar mahu lakukan, maka anda mendapat 50 sepakan percuma.

"Kami adalah sebuah pasukan bola sepak biasa tetapi mereka rebah dalam setiap situasi, itu sukar dipercayai. Ini benar-benar sukar dan jelas sekali ia tidak membantu kami," tambahnya.