Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, meyakinkan Neymar bahawa seluruh pasukan akan membantunya memenangi Ballon d'Or selepas melengkapkan perpindahan rekod dunia dari Barcelona.

PSG memecahkan rekod perpindahan apabila mendapatkan bintang Brazil itu, Ogos lalu, selepas bersetuju untuk menebus klausa perpindahannya bernilai GBP222 juta (RM1.2 bilion).

Ramai pemerhati bola sepak menyifatkan Neymar akan melalui jalan sukar untuk memenangi Ballon d'Or kerana dibayangi Lionel Messi di Barca, membuatkan dirinya perlu lebih bebas dan menjadi tumpuan utama di kelab lain.

Dia melakukan kejutan apabila menikmati kehidupan dalam Ligue 1, menjaringkan enam gol dalam aksi liga, selain menyumbat dua gol di peringkat Eropah bersama PSG.

"Neymar adalah pemain yang memiliki banyak kebolehan serta kualiti," kata Emery dalam sidang media bagi aksi liga menentang Dijon.

"Dia mampu memenangi Ballon d'Or. Kami mahukan yang terbaik untuknya, membantunya memenangi trofi itu.

"Terdapat ramai pemain hebat di serata dunia ketika ini tetapi kami akan bekerjasama dan membantunya menjadi calon yang hebat dan memenangi anugerah itu," katanya lagi.