VERONA 1 INTER MILAN 2

Luciano Spalletti mencabar pasukannya agar melangkah ke hadapan untuk terus mengekalkan rentak baik dalam persaingan merebut gelaran Serie A.


Skuad Nerazzurri itu mengekalkan rekod tanpa kalahnya selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Verona di Stadium Marcantonio Bentegodi, awal pagi tadi, yang membawa pasukan itu kepada rekod sembilan kemenangan dalam 11 perlawanan liga.

Borja Valero dan Ivan Perisic masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa pertama sebelum tuan rumah cuba mengejar menerusi jaringan penalti yang disudahkan Giampaolo Pazzini.

Walaupun kemenangan itu mengesahkan rekod mata terbaik Inter dalam Serie A untuk peringkat ini, Spalletti menegaskan masih banyak kerja di hadapan untuk mencabar Scudetto.

"Menjadi pasukan yang memecah rekod tidak memberi kesan. Kami menempa satu bahagian sejarah Inter tetapi kini kami tidak sabar menanti," kata Spalletti kepada Mediaset Premium.

"Terowong ini akan berterusan sehingga Jun, dan kemudian kita akan lihat cahayanya.

"Pasukan ini bermain dengan hebat (menentang Verona) dalam semua aspek tetapi kami bermain dengan perlahan dan memberi banyak ruang. Bagaimanapun, kami berhak menang.

"Jika kami tidak menang perlawanan dan Roma bermain (perlawanan ditangguhkan dari September) melawan Sampdoria dan menang, kami akan keluar dari tempat Liga Juara-Juara Eropah.

"Semua pasukan sedang berjuang. Saya memikirkan pasukan seperti Milan yang akan bangkit dan Lazio yang mempunyai kualiti untuk kekal di sana. Semuanya boleh berubah dalam masa yang singkat," katanya lagi.

Keputusan perlawanan pada awal pagi tadi meletakkan Verona dalam keadaan sukar apabila berada dalam zon penyingkiran.

Tetapi bos Verona, Fabio Pecchia, tidak percaya tugasnya berada di bawah penilaian.

"Saya sudah bekerja dengan keadaan seperti ini selama 15 bulan," kata Pecchia.

"Saya juga dipersoalkan musim lalu sebelum naik ke Serie A. Kami akan terus bekerja dan selagi presiden terus mahu bekerja dengan saya, saya akan terus melakukan tugas saya."