Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, mengakui usaha keras yang dipamerkan anak buahnya meletakkan dirinya dalam dilema untuk memilih 23 pemain terbaik menjelang pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Phnom Penh, Kemboja minggu depan.

Ia susulan prestasi cemerlang pemainnya membelasah Taiwan 5-0 dalam aksi pemanas badan di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini.

Jurulatih itu menjelaskan setiap pemain telah menunjukkan persembahan yang memukau selepas turut menewaskan Sri Lanka 4-0 di venue sama semalam.

Walaupun sudah mempunyai bayangan pasukan yang akan digunakannya, Maloney mengakui pening kepala untuk memuktamadkan senarai pemain yang akan diumumkannya Rabu ini.

"Saya fikir ia sama seperti semalam di mana kami dapat memenuhi perancangan permainan dan menunjukkan di atas padang apa yang kami usahakan dalam sesi latihan.

"Bagi saya, ia amat bagus.

"Kami akan menilai segala-galanya selepas perlawanan ini dan bersiap untuk menghadapi kejohanan," katanya.

Dalam pada itu, pengendali kelahiran Australia berkenaan meluahkan kegusarannya mengenai kecederaan pergelangan kaki yang dialami pemain tengah, Firdaus Kaironnisam.

Bagaimanapun, nasib pemain itu hanya akan diketahui selepas pemeriksaan lanjut Isnin ini.

"Bukan hanya Firdaus, terdapat beberapa pemain yang mengalami hentakan dan bengkak, jadi ia sedikit menggusarkan.

"Ia sudah semakin hampir dengan kejohanan tetapi kami akan memberikannya peluang untuk pulih.

"Harap-harap dia sempat pulih apabila kejohanan bermula," tambahnya.