Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin, melaungkan kata-kata damainya selepas perancangan penubuhan Liga Super Eropah (ESL) semakin menuju kegagalan.

Sehari selepas mengecam penubuhan kejohanan itu dengan berkata ia "didorong semata-mata oleh keserakahan daripada segala-galanya", Ceferin memperlihatkan kesediaannya untuk mengalu-alukan kelab yang telah menarik diri daripada ESL.

Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham kesemuanya mengesahkan telah menamatkan penglibatan mereka dalam ESL selepas menerima kecaman sejagat mengenai perancangan liga itu.

"Saya katakannya semalam bahawa ia amat terpuji untuk mengakui kesilapan dan kelab-kelab ini telah melakukan kesilapan besar," kata Ceferin dalam satu kenyataan.

"Tetapi mereka kini sudah kembali bersama kami dan saya tahu mereka dapat memberikan banyak sumbangan, bukan sahaja kepada kejohanan kami tetapi buat sukan ini di seluruh Eropah.

"Perkara paling penting ketika ini adalah dengan melupakannya dan membina semula perpaduan dalam sukan yang kita nikmati sebelum ini dan bergerak ke depan," katanya.