Calon Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Amir Ramadzan, sedia memberi laluan kepada Datuk Muhammad Nasir Hamzah untuk menerajui tampuk kepimpinan persatuan itu.

Bagaimanapun, dia akan bertanding sekiranya Tan Sri Annuar Musa mahu kembali menyandang kerusi panas berkenaan.

Demikian syarat utama Amir yang ternyata serius mahukan perubahan radikal dalam pentadbiran KAFA.

Muncul individu pertama menyatakan hasrat untuk menerajui KAFA bagi penggal 2017-2021, Amir sedia mengundur diri daripada perebutan jawatan tertinggi itu sekiranya Annuar kekal dengan pendirian tidak bertanding selepas meletakkan jawatan pada November tahun lalu.

Ketika ini, Amir dan Nasir selaku naib presiden KAFA antara dua calon pilihan bagi menyandang jawatan presiden KAFA.

"Sudah sampai masanya untuk kita teruskan pembangunan bola sepak ini, diberikan kepada orang lebih muda, mempunyai masa dan lebih dekat dengan penyokong.

"Kita melawan bukan bermaksud tidak hormat, kita bertanding supaya persatuan jajahan boleh memilih siapa yang lebih baik untuk bola sepak Kelantan," katanya.

Berbekalkan kekuatan kewangan dan pengalaman luas dalam bidang perniagaan, Amir mencanang aspek komersial dan pembangunan akar umbi sebagai manifestonya untuk Kongres Pemilihan KAFA, 17 September ini.

"Perubahan yang saya akan lakukan untuk KAFA ialah menilai kembali dari segi tanggungjawab dan peranan KAFA bukan sahaja kepada The Red Warriors tetapi pembangunan akar umbi, bola sepak wanita dan seumpamanya.

"Kita juga akan melihat daripada segi pelaksanaan organisasi KAFA itu sendiri," tambahnya.