Presiden FIFA, AFC rasmikan bangunan baru AFC House

Oleh Bernama 30 Oktober 2018 3570
Presiden FIFA, AFC rasmikan bangunan baru AFC House
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini merasmikan bangunan baru  mereka yang memberikan keluasan tambahan 200,000 kaki persegi kepada ibu pejabat mereka, AFC House, di Bukit Jalil.

Majlis perasmian itu disempurnakan Presiden Pesekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), ​​​​Gianni Infantino, dan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, dalam satu majlis yang dihadiri anggota Jawatankuasa Eksekutif AFC serta presiden dan setiausaha agung dari seluruh 47 ahli persatuan di bawahnya.

Dibina atas pembiayaan dana ‘Forward’ FIFA, bangunan baru itu diharapkan dapat menguatkan lagi harapan AFC melalui visi dan misi untuk memberikan perkhidmatan sokongan dengan kecekapan lebih baik kepada MA di bawahnya.

 ​​​​​​​Shaikh Salman berkata sejak memulakan operasinya pada November 2017, bangunan baru dengan hub moden dan dinamik untuk pembangunan bola sepak telah mengubah cara penyampaian  banyak program AFC untuk MAnya.

"Pelaburan pembinaan bangunan baru ini menggariskan komitmen kami untuk menyampaikan objektif tersebut. Bagi pihak keluarga bola sepak Asia, saya harus menyampaikan penghargaan kami kepada FIFA atas kemurahan hati mereka serta Kerajaan Malaysia atas dedikasinya untuk pembangunan bola sepak Asia selama beberapa dekad ini.

"Dengan memupuk perkembangan belia, pembangunan akar umbi dan bola sepak wanita serta pembangunan jurulatih berkualiti dan pegawai berkemahiran, saya yakin bahawa AFC House yang baru dan bertambah baik akan membolehkan MA kami mencapai tahap kecemerlangan baru," katanya. dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Infantino berkata bangunan moden yang baru adalah selaras dengan matlamat AFC sebagai sebuah organisasi moden dan progresif, menumpukan kepada pembangunan masa depan.

"Saya gembira berada di sini untuk perasmian bangunan baru AFC House. Saya melawat bangunan asal ketika mula dibuka dan sudah kagum dengannya pada masa itu.

“Ia merupakan satu kebanggan untuk berada di sini, menjadi sebahagian daripada perasmian ini dan melihat bola sepak Asia dan global bergerak membangun secara seiring,” katanya.

Bangunan baru itu termasukl sebuah padang bola sepak tiruan yang baru, gimnasium, kolam pemulihan, bilik persalinan, lima bilik mesyuarat serta sebuah auditorium 182 tempat duduk, yang telah menjadi tempat untuk pelbagai persidangan, seminar dan bengkel, dan undian pertandingan AFC yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.

Bangunan itu juga menyediakan ruang istirahat  khas dan bilik mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC yang baru serta tempat letak kereta bawah tanah untuk kakitangan dan pelawat selain kafeteria baru.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen