Pertahanan veteran, Saiful Nizam Miswan, yang menjadi tonggak tempatan terakhir memperkuatkan Kuala Lumpur musim depan, meletakkan impian mahu menamatkan karier pada usia 40 tahun.

Sudah menjangkau usia 36 tahun, Saiful Nizam yang lebih dikenali dengan gelaran Poyeng, telah beraksi selama tujuh tahun bersama Pahang.

Memilih ke Kuala Lumpur atas faktor mahu dekat dengan isteri serta kestabilan yang ada pada pasukan, dia dalam pada itu belum memikirkan untuk bersara.

Masih rasa bertenaga untuk terus bermain, dia berharap mampu mengikut jejak bekas rakan sepasukannya di Pahang, Jalaluddin Jaafar, yang menamatkan kerjaya bola sepak pada usia 40 tahun.

"Kalau diikutkan hati saya, saya mahu mengikut jejak Jalaluddin, dia bersara pada usia 40 tahun. Itu sasaran saya.

"Selagi ada daya, ada pasukan yang mahu menggunakan khidmat saya, selagi itulah saya mahu bermain," katanya ketika ditemui dalam majlis menandatangani kontrak pemain Kuala Lumpur bersama Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, di Kementerian Wilayah Persekutuan, hari ini.

Kuala Lumpur kini difahamkan dalam pencarian tonggak import terakhir bagi kuota ASEAN dengan seorang pemain pertahanan dari kelab Persib Bandung menjadi buruan.

"Saya tidak nafi, kalau ada pemain bintang yang bagus-bagus, ia banyak membantu kelab. Tetapi di atas dasar kami menghargai pemain yang sedia ada, kami kurangkan pengambilan pemain-pemain baru.

"Memang dari dulu, kami mahu mencari pemain dari Indonesia kerana mereka memiliki budaya dan permainan yang sama seperti kita. Ia masih dalam proses," kata Adnan.