Ange Postecoglou meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih Australia selepas mengemudi skuad negara itu melayakkan diri ke Piala Dunia Russia 2018.

Di sebalik kejayaan Australia mengetepikan Honduras dalam perlawanan play-off antara benua, sudah pun timbul desas-desus Postecoglou akan berundur sebelum itu.

Dalam satu sidang akhbar semalam, jurulatih berusia 52 tahun itu mengesahkan peletakan jawatannya atas sebab-sebab peribadi.

“Ini satu keputusan yang sukar buat saya,” kata Postecoglou, yang mengambil alih teraju skuad Socceroos pada 2013.

"Ia adalah satu penghormatan untuk saya melatih pasukan kebangsaan negara saya, untuk mengemudi mereka ke Piala Dunia 2014, menjuarai Piala Asia pada 2015 dan kini telah layak ke Piala Dunia tahun depan. Saya telah katakan kita akan melakukannya dan kita sudah pun mencapainya.

"Semua ini, bagaimanapun, mempunyai kesan besar ke atas saya secara peribadi dan secara profesional. Saya telah mencurahkan segala-galanya dengan kesedaran betapa pentingnya tempoh ini buat bola sepak Australia. Kini saya harus menamatkan perjalanan ini dengan hati yang berat.

"Untuk melatih negara anda sendiri adalah penghormatan terhebat tapi ia juga membawa bersamanya tanggungjawab sangat besar. Saya berasa ini adalah masa yang tepat untuk menyerahkan tanggungjawab ini kepada seseorang yang memiliki segala tenaga yang diperlukan. Saya terhutang budi kepada FFA, pemain-pemain dan penyokong.

"Saya akan menanti untuk pasukan ini bersaing di peringkat dunia tahun depan. Saya tiada keraguan bahawa perjalanan ke hadapan akan mengandungi banyak detik-detik istimewa dan tiada siapa yang akan lebih gembira daripada saya menyaksikannya dari jauh,” katanya lagi.

Pengerusi Persekutuan Bolasepak Australia (FFA), Steven Lowy, berkata keputusan untuk menerima peletakan jawatan Postecoglou dibuat dengan rasa kesal.

Ketua Eksekutif FFA, David Gallop, pula mengesahkan Australia tidak akan terburu-buru mendapatkan pengganti, dengan Graham Arnold dijangka menjadi calon utama selepas mengemudi Sydney FC meraih kejuaraan berganda dalam saingan domestik.