Luis Suarez telah diketepikan daripada skuad Atletico Madrid untuk aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok berdepan Bayern Munich selepas sekali lagi diuji positif coronavirus.

Pemain kebangsaan Uruguay itu telah terlepas tiga perlawanan Atletico termasuk aksi bertemu Barcelona, selepas diuji positif COVID-19 ketika berkhidmat bersama skuad kebangsaannya.

Di sebalik Suarez tidak terlibat dalam skuad 22 pemain oleh Atletico semalam, ketua jurulatih, Diego Simeone, tidak sepenuhnya menolak penyerang itu.

"Virus ini sungguh pelik. Ada kemungkinan ujiannya negatif esok dan cergas. Dia masih lagi berlatih dan mahu membantu pasukan," kata Simeone.

"Kami perlu menunggu dan melihat apa yang berlaku dan kemudian memberitahu anda. Saya bercakap dengannya semalam dan dia berasa baik, mahu bersama pasukan yang lain.

"Yang paling penting ialah dia sihat. Sekiranya dia tidak bermain esok, dia akan bermain pada hari Sabtu."

Suarez berada di tahap terbaik bersama Atletico sebelum diketepikan, meledak lima gol dalam enam perlawanan LaLiga selepas berhijrah dari Barca September lalu.