Pertahanan negara, Nazirul Naim Che Hashim, mengakui tiada istilah selesa untuk berada dalam kesebelasan utama walaupun muncul satu-satunya pertahanan kiri tulen untuk skuad Harimau Malaysia dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF 2016.

Nazirul Naim menjadi sandaran di posisi pertahanan kiri selepas nama Khuzaimi Piee terpaksa digugurkan daripada skuad akhir 23 pemain ke Myanmar.

Namun, tanpa diduga bekas kapten Harimau Muda itu berdepan persaingan sengit untuk merebut tempat susulan kemampuan pemain lain menggalas peranan itu.

Perkara itu tidak dinafikan Nazirul Naim yang tetap komited dalam sesi latihan di Stadium Aung San, Yangon, menjelang pertemuan menentang Kemboja, lusa.

"Di bahagian kiri, kami mempunyai Matthew Davies dan Rizal Ghazali juga mungkin boleh beraksi di sebelah kiri. Walaupun saya pemain pertahanan kiri tulen, tidak semestinya posisi itu hanya untuk saya.

"Saya berasa untuk kejohanan kali ini, biar coach sendiri membuat pilihan kerana kami memerlukan kemenangan," jelas pemain kelahiran Perak itu.

Sementara itu, Nazirul Naim yang sudah meraih lapan penampilan bersama skuad negara menganggap episod duka empat tahun lalu di Myanmar sebagai motivasi buat dirinya.

Ketika itu, dia yang menganggotai skuad bawah 22 tahun negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee, gagal ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-22 selepas kecundang kepada Myanmar 2-1 dalam aksi terakhir kumpulan peringkat kelayakan.

"Apa yang berlaku empat tahun lepas menjadi semangat buat saya. Piala Suzuki merupakan perlawanan yang cukup berbeza daripada perlawanan peringkat umur.

"Saya berasa ia satu suasana yang baru dan tunggu serta lihat apa yang akan berlaku apabila perlawanan bermula nanti."