Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, menolak cadangan pasukannya beraksi dengan lebih baik tanpa Cristiano Ronaldo selepas kapten pasukan itu meledak gol yang ke-100 dan 101 di peringkat antarabangsa.

Dua jaringan daripada Ronaldo cukup untuk membantu pasukan mengatasi Sweden 2-0 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA awal pagi tadi.

Jaringan tersebut hadir apabila timbul persoalan mengenai peranan Ronaldo bersama penyandang juara pertandingan tersebut, selepas diketepikan ketika meraih kemenangan 4-1 ke atas Croatia.

Ronaldo berkata selepas perlawanan bahawa dia tidak perlu membuktikan apa-apa dan menepis sebarang provokasi terhadap dirinya.

Santos memiliki pandangan yang berbeza, dia berkata, "Apa yang boleh lagi saya katakan? Pasukan yang memiliki pemain terbaik dunia tidak boleh menjadi lebih baik tanpa pemain terbaik dunia.

"[Ronaldo] masih lagi memecahkan rekod, dan apabila ramai yang mencadangkan dia akan bersara, masih banyak lagi rekod yang mahu dipecahkan. Ia menjadi sasarannya setiap kali turun beraksi."
Portugal memerlukan Ronaldo untuk untuk meningkatkan semangat, dengan jaringan pertama menerusi sepakan percuma, selepas Sweden memberikan ancaman buat skuad kendalian Santo di awal permainan.

Bernardo Silva telah dikeluarkan kerana mengalami kecederaan tetapi layangan kad merah Gustav Svensson memberikan kelebihan buat Portugal.

"Dalam tempoh 20 minit pertama, kami berdepan kesukaran," kata jurulatih itu. "Kami tidak dapat bermain dengan baik, terutama menerusi hantaran jauh.

"Kami berdepan kesukaran, tidak dapat mengawal permainan serta kerap hilang penguasaan bola.

"Kemudian kami mula mendapatkan rentak sehinggalah Bernando terpaksa meninggalkan perlawanan, kami sekali lagi berdepan kesukaran.

"Kad merah yang dilayangkan memberikan kelebihan buat kami, walaupun saya percaya Portugal boleh meraih kemenangan dalam perlawanan ini. Ia merupakan keputusan yang adil."