Jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui, berasakan Portugal lebih daripada sekadar memiliki Cristiano Ronaldo di sebalik melabel penyerang itu “salah seorang yang terbaik dalam sejarah”.

Skuad Lopetegui diundi dalam Kumpulan B, Piala Dunia yang akan menemukan mereka dengan Portugal, Maghribi dan Iran.

Dengan perlawanan pertama berdepan juara Eropah itu harus akan menjadi yang paling sukar, jurulatih Sepanyol itu menghormati skuad bimbingan Fernando Santos itu, terutama bintang Real Madrid berkenaan.

“Mereka lebih daripada sekadar Cristiano," kata Lopetegui.

"Tapi jelas sekali Cristiano sangat kami kenali, salah seorang yang terbaik dalam sejarah dan juga bermain untuk Portugal, sebuah skuad yang sarat dengan pemain-pemain hebat,” tambahnya.

Lopetegui juga berwaspada dengan pencabar lain dalam kumpulan sambil merujuk kepada kekuatan Maghribi dan Iran.

“Kami akan bermain menentang juara semasa Eropah, salah satu pasukan terbaik di dunia,” ujarnya.

"Selain itu, mereka memiliki rentetan kemenangan ketika ini dengan ramai pemain muda di samping lain-lain yang bermain untuk pasukan-pasukan terbaik di dunia.
"Kemudian ada pula Maghribi, yang menyingkirkan Ivory Coast, serta memiliki seorang pengurus hebat pada Herve Renard.

"Juga ada Iran. Mereka adalah pasukan pertama layak ke Piala Dunia dan tidak bolos banyak gol dalam pusingan kelayakan, dengan seorang lagi pengurus (Carlos Queiroz) yang memiliki banyak pengalaman.

"Ia akan menjadi satu kumpulan yang sukar,” kata Lopetegui lagi.